Showing posts with label thought. Show all posts
Showing posts with label thought. Show all posts

Thursday, February 14, 2013

La Tahzan

Salaam. Ini deja vu. Haha. Memang akan saya ulangi ayat ini seberapa kali yang saya mahu. Terutamanya apabila sudah lama tidak ada artikel terbaru (artikel bergambar tidak termasuk). Selang berberapa jam sahaja, keputusan peperiksaan semester lepas akan diumumkan. Kali ini, ia adalah satu keputusan yang saya rasa menjadi satu titik penting dalam perjalanan saya di bumi Tuhan ini.

Apa yang menariknya adalah, dalam enam subjek yang ada peperiksaan akhir semester lepas, satu daripadanya adalah subjek yang saya sudah gagal sebanyak dua kali. Jadi, yang ini kali ketiga. Banyaknya usaha saya pada semester lepas saya beratkan ke subjek ini, kerana ia menjadi titik tolak sama ada saya dapat meneruskan semester akan datang ataupun tidak.

Ada dalam beberapa artikel dua tahun yang lalu, saya menceritakan perihal kesusahan dan kerisauan saya terhadap bidang yang saya ambil ini. Alhamdulillah, saya berjaya mengharungi dunia Diploma saya dengan segulung kertas yang diidam-idamkan oleh semua orang. Cumanya perlumbaan kali ini lebih getir dan mencabar. Terkadang saya berasa, ingin sahaja berputus asa.

Kerisauan saya ini, bukanlah saya sandarkan pada diri saya sendiri sahaja. Tetapi, saya sandarkan pada tanggungjawab saya yang banyaknya datang daripada keluarga saya sendiri. Harapan ibu bapa dan orang yang rapat dengan saya sedikit sebanyak, tidak keterlaluan saya katakan, agak membebankan. Tapi itulah hakikat kehidupan ini, apa haknya untuk saya mengeluh, hatta saya akan hadapinya jua.

Oh ya, sekarang saya habiskan masa cuti saya dengan bekerja di sebuah pejabat kajian strategik dan propaganda untuk persediaan menghadapai pilihanraya yang akan datang tak lama lagi. Inipun, artikel ini saya tulis di atas meja saya di pejabat. Memang selalunya saya akan bermalam di sini kerana jaraknya dari rumah saya ke sini agak jauh.

Saya sebolehnya tak mahu bersangka buruk dengan ketentuan Allah, tetapi, saya percaya saya sudah lakukan sehabis baik yang saya mampu pada semester yang lepas. Apa-apa keputusan yang saya dapat kelak, akan saya terima dengan hati yang terbuka, kerana insya Allah, saya membenarkan segala apa urusan tadbirNya terhadap masa depan saya.

Nikon V1 + CCTV Fujian 25mm f/1.4 + Kukirakan Detik Infra Merah
“Today is what you have and the only thing you can work with. Yesterday is gone and tomorrow isn't here yet.”
 Aidh bin Abdullah al-Qarni,  La Tahzan

Sunday, September 16, 2012

Selamat Hari Malaysia! Oi!


the day had gone too long
its seem like yesterday
this is the land we born
and where we gonna stay
The proud is there
we know and its always in your hearts
that we all stay and fly the flag
of nation pride

The war had gone

and all the heroes had their way
but if its strike again
we know we gonna stand

we gonna stand and fight

we''ll die for this pride land
we''ll show the foes
we great coz we the countrymen

and when u hear the call

we know that u be there
its for the stripe the moon and star
coz we all proud that we was made in malaysia 

we had been raised to trust
the god and to the king
we gonna stand and ground
the strengh that come whithin
so if u think u know those feeling that is thru
and its all for the yellow, the red,and white and blue

and when u hear the call

we know that u be there
its for the stripe the moon and star
coz we all proud that we was made in malaysia

we gonna stand (we gonna shout)

this is the land (that we all proud)
lets join the line and you know whats all about
so if u think (you feel the same)
raise all the flag (of our land)
and feel the pride
inside you know that it is thru

we just dont care

just who u r
just shout it loud
that we was made in malaysia

Friday, August 17, 2012

Mekanik Kuantum

Salaam..kali ini memang terlampau lama saya tidak mengemaskini blog. Paling akhir saya menulis adalah pada bulan Mac yang lalu. Terasa agak sedikit kecewa sebenarnya dengan dunia atas talian ini, walaupun sebenarnya saya tidaklah terus berhenti menulis di Facebook dan Twitter saya, cuma saya berhenti sebentar daripada menulis blog ini dan juga membawa masuk barang barang kamera analog ke dalam Kamera-lah!.

Memang, apabila sudah biasa bertahun-tahun menulis di sini dan dua tahun lepas pula menumpukan hampir separuh raga dan jiwa dengan kedai kamera analog atas talian saya (Kameralah!), jadi apabila tidak melakukan apa yang saya selalu buat, maka rasanya agak janggal sedikit.

Oh ya, saya berhenti membawa masuk stok kamera kamera baru lebih kurang masanya dengan saya berhenti menulis dalam blog ini tempoh hari.

Perasaan ini selalu bermain-main dalam kepala saya ketika semester lepas. Harapannya, agar saya dapat menumpukan 100% kalau tidak pun 95% perhatian saya terhadap pelajaran. Ya, subjek kejuruteraan bagi saya adalah agak sukar untuk dikuasai. Ada juga sedikit dalam fikiran ini untuk memulakan semula perniagaan kecil saya dengan kamera lama itu, tetapi biarlah dahulu buat masa ini.

5 ke 6 tahun yang lalu, saya masih lagi belajar di Kuala Kangsar. Jika disebut orang, ketika itu adalah umur yang baru meningkat dewasa. Ketika itu, memang harapan saya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, dalam ingatan saya yang lepas, ketika itu cita-citanya adalah untuk ke Jepun. Namun, memang sudah menjadi tabiat buruk saya mengutamakan yang tidak utama, maka keputusan SPM saya tidak cukup bagus untuk melayakkan saya mendaftar mana-mana program tajaan luar negara. Pada ketika itu, kelayakkan minimum adalah 8A1 untuk subjek subjek yang kritikal.

Di ambang peperiksaan SPM pada ketika itu, memang sudah saya menjangka, agak sukar bagi saya untuk menjawab dengan baik kerana saya rasakan masa terlampau suntuk bagi saya untuk mengulangkaji kesemua topik ditambah pula dengan komitmen saya yang saya tersilap utamakan itu.

Ketika itu saya adalah salah seorang editor utama bagi majalah sekolah yang kerjanya masih banyak tertangguh ketika minggu SPM sudah pun bermula.

Disebabkan perasaan saya yang sudah sedar langkah kali itu sudah sedikit tersilap, berbaki beberapa bulan sebelum sesi persekolahan tamat pada tahun akhir saya, saya cuba untuk menasihatkan junior junior yang rapat dengan saya dengan perihal pentingnya mengutamakan yang utama dan jangan tersilap memilih langkah. Ketika itu, hasrat untuk beroleh keputusan 10A1 adalah impian semua pelajar!

Masa berlalu dan hari ini, antara mereka yang saya nasihatkan itu, rata-ratanya banyak yang berjaya dan kini sedang berada di peringkat pendidikan tertier mereka.

Walaupun saya juga kini sedang belajar dalam bidang yang saya minati di bumi Malaysia ini. Namun cita-cita saya untuk menyambung pelajaran ke luar negara telah pun dapat saya zahirkan dan telah pun dinyatakan oleh mereka. Sedikit kepuasan bagi saya sebenarnya. Syukur ya Allah.

Oh ya, Ramadhan berbaki 2 hari sahaja lagi. Lusa sudah pun satu Syawal. Selamat Hari Raya Aidilfitri 2012!


Those who can't acknowledge their real selves are bound to fail - Itachi Sasuke | うちはサスケ (582:7)

Friday, March 23, 2012

Mimpi Minda Bawah Sedar

Salaam, malam tadi selepas saya habis sahaja kelas Static & Dynamic sekitar jam 10.00 malam, saya terus pulang ke rumah, mandi, solat isyak dan bersedia untuk tidur.

Memang kalau kita sudah penat, letak sahaja kepala atas bantal, sedar tidak sedar, kita akan cepat sahaja memasuki fasa "Tidur Gerak Mata Cepat" atau dalam ungkapan Bahasa Inggerisnya "REM (Rapid Eye Movement)". Jadi saya rasa malam tadi kurang 15 minit saya lelapkan mata, saya sudah mencapai fasa REM.

Tidak Disangka - Sangka

Sudah menjadi lumrah manusia, mimpi yang tidak dicatat atau direkod akan hilang secara perlahan-lahan daripada memori kita, mungkin disimpan di bawah minda bawah sedar.Baiklah, begini ceritanya. Malam tadi, saya bermimpi berada di dalam suatu majlis yang saya sendiri tidak tahu apakah yang dianjurkan dalam majlis itu sebenarnya. Tetapi dalam hati saya, saya pasti ini ada kaitan dengan pergolakan politik negara kita.

Yang saya nampak, saya telah keluar dari majlis itu dan saya nampak ada beberapa sosok badan yang saya kenal, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan beberapa orang rapatnya. (Saya pernah membuat beberapa kerja untuk Parti Keadilan Rakyat; atas dasar kerja dan upah sahaja). Memang jika mimpi kita sendiri, sedikit sebanyak kita tahu apa yang sebenarnya terjadi dalam mimpi itu, walaupun kita tidak bertutur dengan sesiapa pun. Oh ya, malam tadi, ketika dalam mimpi itu saya ada menyapa seorang pengawal yang mukanya saya kenal dengan senyum dan menundukkan kepala sedikit.

Tidak lama selepas itu, latar mimpi saya sudah pun bertukar ke sebuah masjid yang saya sendiri tidak tahu di mana. Sekitarnya terdapat ramai orang dan pada fikiran saya ketika dalam mimpi itu, ini pasti ada sesuatu perkara yang penting sedang berlaku, seingat saya, ketika itu saya ada memegang sebuah kamera.

Apa yang saya lihat, ketika itu, ada dua sosok pemimpin utama negara kita iaitu Datuk Seri Najib dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang bertukar deklarasi berdamai antara satu sama lain. Perkara ini saya rasakan pasti ada kaitan dengan kedua-dua mereka mahu menghentikan pertelingkahan politik yang selama ini membelenggu Malaysia.

Tiba-tiba, saya tersedar, dan jam sudah pun menunjukkan pukul 7.00 pagi.

Minda Bawah Sedar

Saya mungkin, mungkin atau pernah memikirkan perkara ini suatu ketika dahulu, namun begitu, seingat saya, tidaklah sebegitu terperinci ideanya, namun harapan itu ada sebenarnya dalam diri ini untuk melihat Malaysia yang lebih baik untuk generasi 100 tahun akan datang. Saya rasa, mimpi ini sendiri telah pun dirangka tanpa saya sedari oleh minda bawah sedar saya.

Maha suci Allah yang menciptakan otak dan minda manusia sehingga mampu mereka dan merangka peristiwa yang tidak lagi berlaku dalam hidup nyata kita.

Olympus E410 + Zuiko Standard Lens 14-42mm + Sekitar Demo Anti-ISA 2010

Friday, November 11, 2011

Kotak Pandora





 Kiev 60 / Photina Reflex + Kodak Pro 160 + Jarak hampir satu tahun antara dedahan

Salam, jarak antara dua gambar di bawah dengan gambar yang di atas itu hampir satu tahun lamanya. Filem yang sama, hanya kamera yang berbeza. Asalnya filem ini saya gunakan dalam Kiev 60 pada pertengahan 2010 dahulu. Namun, di pertengahan penggunaannya, ada pelanggan yang mahu membeli kamera tersebut, jadi saya keluarkan filem itu dan simpankan ia di dalam kotak kering saya sahaja.

Apabila saya sudah punyai kamera TLR sendiri tempoh hari (mungkin saya akan jual semula kamera itu, untuk satu kamera yang lain), saya terus berhajat untuk menghabiskan filem yang masih berbaki beberapa dedahan itu. Baru sahaja hari ini saya ambil filem itu dari kedai.

Sungguh, pantas sungguh masa berjalan, kawan saya yang berada dalam gambar pertama sebelah kanan itu, beliau sudah pun menjadi seorang guru sekarang, saya sendiri sudah tamat diploma (gambar tersebut diambil ketika penghujung semester 5 ketika di Arau). Memang cepat bukan. Dua gambar di bawah pula adalah gambar yang diambil di Shah Alam bersama kenalan di sini.

Terperangkap dalam ruangan yang kita reka sendiri, kadangkala cukup untuk memberikan satu cerminan tentang apa perubahan yang telah kita lalui sepanjang tempoh masa itu. Namun, bagi saya untuk sentiasa tetap di dalam jalanNya itu, adalah sesuatu yang amat sukar sekali.

Oh ya, buku yang saya beli tempoh hari di Kinokuniya, KLCC yang bertajuk "Tiada Tuhan Selain Allah" tulisan Reza Aslan banyak memberi input baru kepada saya, walaupun baru selesai beberapa puluh muka surat awalan buku tersebut. Jika anda ada masa, saya mengesyorkan anda mencari buku itu, suatu pandangan alam yang berbeza tentang sejarah Islam, ada sedikit berbeza dari apa yang kita selalu belajar dan dengar ketika zaman sekolah dahulu. - http://en.wikipedia.org/wiki/No_God_but_God

Cuti pertengahan semester ini sudah berbaki beberapa jam sahaja, masa untuk saya memberikan tumpuan yang lebih fokus. Ada beberapa perkara yang belum disudahkan.


Thursday, February 3, 2011

Mekanik

Salam..cuti kali ini banyak saya habiskan masa dengan mencuba sesuatu yang saya tak pernah cuba lagi sebelum ini. Telefon di rumah saya memang sudah lama bermasalah, mungkin sudah sampai jangka hayat servis agaknya. Bunyi yang dihasilkan tidak "clean" dan terlalu banyak "noise" (selepas di selidik rupa-rupanya bukan sebab telefon, tapi sebab alat pemisah talian Streamyx). Jadi saya cubalah mencari peganti telefon di rumah saya ini. Mudah.my memang menjadi tempat pertama saya kalau ingin membuat rujukan harga ataupun mencari barang-barang terpakai.

Selepas beberapa ketika mencari, saya akhirnya ternampak satu iklan yang menjual telefon DECT termasuk percuma satu set komputer Pentium III lama. Jadi tanpa berlengah lagi, saya terus menghubungi penjual itu tempoh hari. Komputer lama itu lah kini jadi bahan eksperimen saya. Saya leraikan satu-satu, dan pasangkan ia semula. Oh ya, saya juga warnakan unit pemprosesan pusat komputer (CPU) itu dengan warna baru. Kalau dahulu Pentium III memang sinonim dengan Windows NT. Sekarang saya berikan ia nyawa baru, iaitu Lucid Puppy 5.20. Mesin lama ini boleh melayari internet seperti sistem-sistem masa kini dan kalau setakat menonton video atau pun filem yang dimuat turun daripada Torrent, memang tak jadi masalah langsung. Oh, keupayaan RAM bagi komputer ini hanyalah 512MB.

Konon-kononnya ada hajat nak bina HTPC lah..haha. Tapi itu projek masa hadapan, masa sudah bekerja lagi. Memang nanti kalau saya sudah bekerja dan ada wang yang cukup, memang saya akan khaskan satu bilik di rumah saya untuk tujuan kerja tangan. Umpama bengkel lah. Satu bahagian untuk komputer prestasi tinggi, dan satu bahagian lagi untuk pertukangan, pateri, bit gerudi, osiloskop, atau untuk mudah bicara, tempat untuk ujikaji sayalah. Dapat bina misil berpandu yang dijana Arduino pun seronok jugak, atau bina All Terrain Autonomous Vehicle pun mengujakan juga. Memang saya berminat sangat dalam bidang reka cipta ini. Tunggulah nanti, saya nak selesaikan tugas utama saya dahulu dengan pembelajaran saya sekarang.

Oh ya, mekanik yang lepas bagi kereta kakak saya telah terlebih ketatkan penapis minyak, macam-macam cara saya cuba tadi untuk membukanya semula. Ish.

Friday, December 31, 2010

Ke 21

Salam. Cukup sebulan saya tak kemas kini blog ini. Inilah akibat kalau balik kampung. Memang daya produktiviti akan menurun beberapa peratus. Cuma fikiran saja ligat berputar memikirkan idea idea yang tak berapa bernas. Pejam celik pejam celik dah habis dah tahun 2010.

Tak semua sasaran saya untuk tahun lepas tercapai, namun ada yang dapat saya kecap macam sekarang ini pun saya menulis artikel menggunakan platform Android. Oh ya, cerita fasal cita-cita memiliki Android ini ada saya ceritakan sebelum ini.

Jadi saya fikir azam tahun lepas akan saya bawa kehadapan tahun 2011 dengan beberapa penambahbaikan. Cuma, yang paling penting saya nak perbaiki pelajaran saya supaya lebih berdaya saing bila dah habis nanti.

Bagi saya, tahun 2011 ini insya Allah saya akan isi dengan perkara yang lebih baik dari tahun yang sebelumnya. Banyak idea-idea dalam fikiran ini akan cuba saya drafkan nanti di atas kertas supaya ianya tak hilang.

Oh ya, saya mesti belajar teknik-teknik baru untuk menyusun masa saya supaya lebih efisien. Kelemahan saya paling besar sampai sekarang adalah tidak pandai mengutamakan apa yang utama.

Selain itu, tentunya 2011 akan saya jadikan tahun yang baik bagi Kamera-lah! :-)

Selamat tinggal 2010, saya pasti merindui masa-masa itu.

dan Selamat Tahun Baru untuk anda, jadikan ia lebih baik dari sebelumnya.

Tuesday, November 23, 2010

Masa Zaman G1 Dulu

Salam..sewaktu zaman Google keluarkan G1 dahulu saya dah memasang niat untuk memilikinya suatu hari nanti. Tidak kisahlah ia jenama apa, janji menggunakan platform Android pasti saya akan terliur bila melihatnya (tidak termasuk Sony Ecrisson Xperia). Ramai kawan-kawan saya yang minat mengumpul gajet, selalunya, mereka akan bertukar-tukar gajet mereka itu 6 bulan sekali, puas saya nasihatkan mereka untuk membeli telefon yang menggunakan platform Android, namun akhirnya Symbian dan iOS (Jailbreak) juga menjadi pilihan.

Apa yang saya suka fasal Android ini adalah sebab memang asalnya daripada Linux. Jadi, apabila bercakap perihal Linux, anda sebenarnya mempunyai kuasa 100% untuk mengubah, mencipta dan memaksimakan gajet anda. Masa zaman saya kenal Ubuntu dulu, memang sudah terasa kehebatan Linux ini. Namun, terus terang saya katakan ia akan hanya dapat dimaksimakan penggunaannya jika anda ada niat untuk belajar dan mencuba sendiri. Linux (konteks ini: Android) sesuai untuk "end user" namun ia akan jadi lebih sesuai jika anda berusaha sedikit.

Sebenarnya, walaupun sudah beratus kali saya menonton video perihal Android di You Tube dan membaca pebagai risalah dan tutorialnya, hanya kali pertama saya dapat memegang sendiri peranti yang menggunakan platform Android adalah pada bulan Jun tahun ini, ketika itu saya berada di Low Yat untuk mencari netbook adik saya. Pada waktu itu, Samsung Galaxy S baru sahaja berada di pasaran tempatan, dan ada juga Galaxy 5. Kedua-duanya menggunakan Android keluaran 2.1 (Eclair).

Dan setelah berangan hampir setahun lebih. (kadangkala jadi vegetarian)



 HTC Hero GSM / T-Mobile G2

Saya nak "perkosa" UI Sense daripada HTC dahulu sampai puas, selepas itu barulah naik taraf ke Froyo 2.2.

p/s: Oh ya, dulu masa mengidam Nokia 5300 Xpress Music pada tahun 2006 pun macam ini juga. :)
p/s^2: Syukur ya Allah

Friday, October 29, 2010

Sebenarnya, Dialah Yang Paling Dekat

Ali `Imran 3: 173 - وَقَالُواْ حَسۡبُنَا ٱللَّهُ وَنِعۡمَ ٱلۡوَڪِيلُ

Friday, October 1, 2010

Rangka - Rangka Projek Masa Depan

Jarak Masa Projek : 1 Tahun.

1) Mempunyai domain sendiri untuk meletakkan hasil tangkapan. Saya akan gunakan Indexhibit ataupun StaceyApp sebagai CMS saya. Di sini saya akan simpan hasil-hasil yang terbaik sejak saya mula-mula ada kamera sendiri.

2) Insya Allah, saya dahulukan pengimbas filem dahulu, Canoscan 8800F.

3) Selepas itu baru menyusul Canon EOS 60D.

4) Saya nak sambung kerja kegemaran saya menyunting video waktu zaman dekat MCKK dulu, sekitar 2005. Waktu itu saya sunting guna FCP + Mac Mini. Ada satu dokumentari dan satu video muzik konsert. Projek yang asyik terngiang-ngiang dalam kepala saya, adalah projek Raya dan projek Merdeka.

5) Membesarkan Kamera-lah!

Memang saya suka merancang sebegini sejak dahulu lagi, sebab selalunya. Rancangan-rancangan macam inilah yang selalu jadi motivasi dalaman saya sendiri. Oh ya, untuk sukses dalam pelajaran juga memang sudah lama dalam rancangan utama. Kalau tidak macam mana hendak bina jambatan baru pergi Singapura.

Oh ya, L701 saya pun nak salin enjin dan perkakasan baru. Saya mahu tukarkan jadi model TR. Tapi ini nantilah.

Tuesday, August 24, 2010

Pertengahan Ramadhan

Salam, ahhhh...kali ini memang lama sungguh saya tak kemaskini blog ini. Memang sibuk yang melampau. Sebenarnya bukan sibuk mana pun, cuma tak menang tangan dengan perkara-perkara baru yang berlaku dalam bulan Ogos ini. Masuk topik baru sewaktu kelas itu memang sudah satu kewajipan, selain itu saya ada juga buat kerja-kerja sambilan untuk tambah duit poket. Jadi fikiran itu tidak teringat sangat untuk mengemaskini blog.

Tambahan pula, minggu pertengahan Ramadhan ini, sebelum balik raya, memang minggu ujian bulanan, jadi berderet-deretlah jadual ujian saya sebelum boleh pulang beraya nanti. Namun begitu, sebelum datangnya minggu ini, dalam beberapa minggu lepas saya berjaya menyelesaikan beberapa tugasan tambahan antaranya, sempat menyiapkan blog baru bagi Saudara Rafizi Ramli dan juga sebuah kedai online saya sendiri.

Memang sebelum ini saya sudah ada niat untuk berniaga kecil-kecilan dalam internet, namun jalannya saya kurang arif lagi. Tapi kini, selepas saya membuat beberapa kerja rumah dan juga atas didikan Ayah saya sendiri yang mengajar bagaimana nak import masuk barang suatu ketika dulu, maka minggu lepas tercapai jugalah hasrat saya ini.


Bolehlah menambah duit poket saya untuk menyara hidup di bumi Arau ini. Oh ya, untuk pengetahuan anda, semenjak saya habis tingkatan 5 dan menyambung pembelajaran dalam bidang Kejuruteraan Sivil di Perlis ini, saya sudah tidak bergantung harap dengan duit belanja ibu bapa saya sendiri, memang itu hajat saya sejak sekolah menengah lagi. Jadi ini salah satu daripada sumber-sumber kewangan saya. Insya Allah, kalau ada rezeki saya ingin kedai ini ada pusingan modal yang banyak, jadi tak perlulah lagi saya risau sangat dikemudian hari.

2hb Ogos ini saya akan pulang ke Kampung di Ulu Yam. Memang apabila sudah masuk kawasan Ipoh nanti, saya rasa saya akan alunkan lagu-lagu raya dalam Cuore saya, barulah "speret" raya!

Sunday, July 4, 2010

Hari Cuti Dah Habis, Jadi Apa Yang Telah Dilakukan?

Salam..artikel kali ini dikemaskini langsung dari bumi Perlis, dan itu memang bermaksud saya dah balik semula ke sini dan cuti juga sudah tamat. Jadi apa yang saya dah buat sepanjang cuti yang tak seberapa lama itu?

Pertama sekali, sesampainya saya di rumah, malam itu juga saya terus pergi ke janji temu yang sudah seminggu awal diaturkan. Saya mendapat tugas untuk membangunkan sebuah laman web bersifat informasi bagi Pakatan Rakyat yang berisikan maklumat untuk rakyat tentang Agenda Ekonomi Malaysia. Memang menjadi lumrah pagi sesebuah pakatan pembangkang untuk ada satu pelan atau apa-apa bayangan, ermmm..maksud saya macam kabinet bayangan dan sebagainya. Untuk contoh, kalau Barisan Nasional ada Dasar Ekonomi Baru, jadi pakatan ada Agenda Ekonomi Malaysia. Oh ya, kalau di Australia, pakatan pembangkang mereka memang sudah bersifat kukuh dan lain sedikit daripada Malaysia. Kalau tak silap saya, pakatan pembangkang di sana juga ada kabinet bayangan mereka sendiri.



http://agendaekonomi.org
ia masih dalam peringkat Alpha dan kini menunggu pengisian artikel

Jika di Malaysia analoginya saya letakkan perihal DEB & AEM, manakala di Australia pula, kalau Menteri Pertahanan dari kabinet kerajaan mengeluarkan kenyataan media, menteri daripada kabinet bayangan juga akan memberi tindak balas (baca: komen dan kritikan).

Berbalik semula kepada fasal cuti tadi.

Saya rasa banyak saya habiskan masa bersama keluarga sahaja cuti ini, dan sehari untuk meluangkan masa bersama yang tersayang. Oh ya, dia kini dapat menyambung pelajaran dalam bidang Medik di UDM. :)

Ketika cuti berbaki sehari sahaja minggu lepas, saya sempat mengemaskini bahagian Linux dalam komputer riba saya. Kini setengah daripada komputer saya itu berfungsi menggunakan Ubuntu Lucid Lynx 10.04LTS. Saya rasa, dari tahun 2008 saya menggunakan Linux, saya rasa Ubuntu sudah boleh dikatakan mencapai tahap yang matang dalam keupayaannya menjadi salah satu perasa Linux yang bersifat "mesra pengguna".

Oh ya, saya ada rancangan tambahan juga selepas ini dalam bahagian pengaturcaraan dalam hidup saya ini. Hmmm..selepas ini saya nak medalamkan lagi pengetahuan dalam penggunaan CSS dan PHP dalam CMS Wordpress. Ada dua calon tempat saya belajar nanti :-

http://www.plaintxt.org/themes/sandbox/ - Sandbox

http://www.blueprintcss.org/ - BlueprintCSS

Oh ya lagi sekali, filem dalam OM-1n itu ada lagi beberapa dedahan, Insya Allah, minggu depan bolehlah cuci.

Sunday, June 27, 2010

Masa Bercuti

Salam..lama betul saya dah tak kemas kini blog ini. Oh, ya. Sekarang baru mula bercuti (walaupun UiTM dah mula cuti sebulan yang lepas). Cuti ini memang rasanya sangat terisi dengan aktiviti yang saya fikir boleh memberikan impak positif untuk masa yang akan datang. Sebelum ini memang tak pernah pun saya membuat satu laman web secara serius, ermm, maksud saya bukan untuk diri sendiri, tapi diupah oleh orang lain. Boleh dikatakan ini antara kerja berbayar saya yang pertamalah. Dahulu pernah juga cuba-cuba buat sendiri, tapi sebab saya ini agak kedekut untuk membeli "hosting" sendiri, jadi projek itu sekerat jalan sahajalah.

Tapi yang ini, saya tak mengharapkan apa-apa sangat pun, cuma saya lebih mahukan pengalaman, itu yang sebenarnya, sebab boleh dikatakan sumbangan kepada pembangunan negara juga. Nanti kalau dah siap saya akan kemaskini dalam blog ini. Ada kaitan dengan agenda negara juga. Saya akan ulas sedikit nanti. (Fuhh, dah lama tak menulis fasal artikel yang berat-berat).

Oh, sebelum saya terlupa. Ada dua laman web yang saya rasa sangat berguna untuk sesiapa yang baru nak berjinak-jinak dengan sistem Wordpress. Ini dia

http://sembangkomputer.com/

http://nazrien.com/

Selain dari itu, dalam OM1n saya sekarang ada segulung filem hitam putih, 36 dedahan. Saya akan pastikan sebelum habis cuti ini, sudah siap diproses. Insya Allah.

Dah hampir setahun jugak saya memikirkan tentang satu projek ini, cuma saya rasa saya masih tak dapat capai tahap piawainya lagi. Insya Allah, hujung tahun 2010 ini, atau pertengahan 2011, saya akan ambil bahagian dalam Annexe "Art for Grabs". Saya nak cuba jual/kongsi/pamer gambar-gambar jalanan (street photography) saya dengan khalayak. Mungkin dalam bentuk buku kecil yang saya akan "DIY" sendiri.

Saturday, June 5, 2010

Dua Empat Lima

Alhamdulillah, pertandingan ini tak mendapatkan saya apa-apa pun, sebab memang tak ada hadiah, walau bagaimana pun, 250 gambar terbaik ini, akan di lelong. Mana-mana gambar yang terjual, keuntungannya akan disalurkan ke rumah-rumah kebajikan sekitar Kuala Lumpur.

Untuk senarai yang lain-lain boleh lihat Facebook Satu Photography Contest - DISINI
Untuk tengok gambar yang saya hantar - DISINI
Untuk tengok laman web rasmi Satu Photography Contest - DISINI

:)

Thursday, June 3, 2010

Selamat Hari Jadi Awak!!


OM-1n + Kodak Gold 200 Luput + Tempat P.Ramlee nyanyi Dalam Cerita Masam-Masam Manis

"Semoga apa yang kita ada sekarang ini, terjaga sampai bila-bila. Insya Allah :D"

Wednesday, April 21, 2010

Jarang Sekali Berkata - Kata




Oly e410 + Rentetan Hidup Sibuk

"Aku tak punya populariti seperti yang lain-lain, walaupun manusia itu cinta pada perhatian orang ramai. Ah, sedap jugak jadi terkenal ni" - monolog dalaman

Tuesday, April 13, 2010

Pemikiran Tengah Hari

OM-1n + DNP Centuria 200 Luput + Kepanasan Terik Tetapi Seronok di Atas Sana

"Sehingga kini saya masih merasakan satu hari itu terlalu pendek untuk memikirkan perkara dalam hidup ini, terlalu singkat untuk mencuba benda yang saya suka, terlalu sekejap untuk membaca buku yang saya minat dan terlalu pantas untuk mengenali mereka yang pernah ada dalam hidup saya" - John Burroughs

Thursday, March 11, 2010

Shooter

Nikon D70s + 50mm f/1.8 + ABC Special Kuala Perlis

Salam, lama juga tak ada apa-apa cerita baru, sangat sibuk rasanya semester ini, banyak laporan makmal yang perlu disiapkan, bayangkanlah dalam dua jam masa belajar, 3 eksperimen perlu dihabiskan dan minggu depan laporannya perlu dihantar. Itu baru satu subjek.

Minggu ini banyak saya habiskan masa menjadi seorang yang pendiam dalam internet, membaca blog kawan-kawan, melihat gambar-gambar baru di facebook, rupa-rupanya ramai antara mereka yang sememangnya rapat dengan saya sudah jauh merantau di bumi Allah ini. Seronok juga bila lihat perkara macam ini, ya lah, saya paling jauh hanya di Singapura.

Ah'ha, minggu ini kelisa biru saya nak salin kulit, boleh layan JDM pula lepas ini.

Sunday, February 7, 2010

Sekitar Sri Wang Lagi (Dalaman)




e410 + Lightroom Secukup Rasa + No.8, Lorong 24

Salam, sebenarnya sudah lama saya nak memberitahu hal ini, ada juga yang bertanya kenapa saya menulis dalam tatabahasa yang betul dan tidak dalam bahasa pasar. Sebabnya ada dua sahaja, kalau saya menulis dalam bahasa Inggeris, pasti saya pun akan menulis dalam "grammar" yang betul, dan kedua, saya menyenangkan kerja "Google Translate" untuk......

Anda pasti sudah dapat ideanya bukan?

Lagi pun bahasa itu jiwa bangsa.

"Jangan tanya apa yang negara ini beri pada kamu, tapi cuba tanya yang sebaliknya" - Ingatan Sendiri

Wednesday, January 27, 2010

Dekad Yang Baru

Salam, hari ini genaplah usia saya dua dekad. Pejam celik, pejam celik, tahun-tahun lampau sudah pun saya lewati dengan pelbagai perasaan yang bercampur baur. Ingatan paling lama dan paling segar yang saya ada sampai hari ini adalah masa ketika saya berumur 5 ataupun 4 tahun, waktu itu saya pergi menonton pameran Dinosaur di Subang Jaya.

Macam-macam dalam tempoh masa 20 tahun ini saya kecap. Hidup ini sememangnya hebat dan penuh dengan debaran, ditambah pula dengan liku-liku yang pernah menggelincirkan saya kedalam kawasan gelap dan terang.

Angka 20 hari ini sudah cukup untuk saya memutarkan semula filem-filem memori lama dalam kotak fikiran ini. Saya hidupkan satu persatu memori itu semula dalam beberapa hari belakangan ini, membuatkan saya tersenyum seseorang, malah monolog dalaman juga.

Masa saya selama dua dekad ini zaman kanak-kanaknya banyak saya habiskan bersama dengan keluarga. Syukur, saya mempunyai keluarga yang sangat penyayang walau pandangan alam masing-masing berbeza tapi itu sudah cukup membahagiakan saya bersama mereka. Zaman kanak-kanak saya sungguh cukup serba serbinya. Waktu itu siri televisyen Jepun yang paling saya minat adalah Masked Rider Black RX, Flashman, Cybercop dan Ultraman, dan saya rasa memang sebab hero-hero khayalan tadilah saya menjadi manusia yang seperti hari ini. Ligat fikiran saya melayang bersama mereka saban hari.

Sampai hari ini saya hafal lagu siri-siri tadi, (bukti : ada CD dalam kereta saya)

Saya tahu banyak yang saya tulis dalam blog ini kadangkala sangat dekat dengan cerita peribadi saya, dan kadangkala jauh sekali. Memang saya sengaja menulis begini.

Membesar dewasa bersama manusia sebaya yang datang dari pelbagai latar belakang sudah cukup membuka minda dan merubah pandangan alam saya yang saya bina sendiri di rumah dulu. Cara saya berfikir banyaknya dipengaruhi dengan bau-bauan Sungai Kuala Kangsar. Oh, kalau siapa-siapalah tahu sedapnya makan roti canai di Square.

Tapi saya tak nafikan Ayah saya sendiri banyak mendoktrinkan fikiran saya walaupun kadangkala pandangan orang lama ini agak jumud sedikit dari arah seginya.

Pengalaman berada dalam lingkungan orang-orang berilmu tinggi dan suasana dinni suatu ketika dulu memang saya tak akan lupakan. Saya jadikan orang ramai yang lalu singgah dalam hidup saya 20 tahun ke belakang ini sebagai guru yang tak bergaji dan tak berpangkat. Yang pasti ramai daripadanya rakan-rakan saya sendiri, orang yang saya tak kenali, cikgu di sekolah dulu dan juga buku-buku yang saya baca.

Seronok mendengar pemikiran orang lain tentang perihal sesuatu perkara.

Memang tabiat saya dari saya sejak umur 13 tahun lagi untuk nampak matang dari rakan sebaya saya, kepura-puraan yang saya mainkan ini kadangkala berjaya melebihkan saya sedikit, tapi kaca tetap kaca dan bukannya berlian.

Saya rasa fasa untuk menuju kedekad yang lain ini akan saya isikan lagi dengan pelbagai pengalaman baru dan cara baru, banyak reformasi, sedikit angan-angan dan beribu impian.

Ah, masa berlalu pasti akan lebih cepat nanti. Tapi masa lepas tak akan saya lupakan. Saya tahu saya kadangkala lambat dan kadangkala terlalu cepat, tapi apa yang saya tahu, saya takkan berhenti.

Lagi satu, sekarang saya kurangkan sedikit memetik kamera, sebab Asas Mekanik Bahan sangat dalam kandungannya untuk dihadam.


MjuII + Samsung 200 Yang Sudah Basi Tahun 2001 + Putaran Hidup Manusia