Showing posts with label dakwah. Show all posts
Showing posts with label dakwah. Show all posts

Monday, February 27, 2012

Kejuruteraan Semula







Olympus OM1n + Zuiko Auto-S 50/1.8 + Kodak Ultramax EI400
"Saya seorang __________, dan saya menggunakan __________ sebagai telefon bimbit saya."

Lihat Siri Penuhnya di sini - (KLIK)


Salaam, lama betul tak menulis, walaupun cuti sebulan. Banyaknya hari dalam cuti ini telah saya habiskan dengan membaca beberapa buah buku yang tak sempat dihabiskan semasa semester lepas berjalan, terlampau sibuk dengan perkara-perkara yang lebih utama.

Kadangkala saya habiskan masa menonton siri TV Jepun bertajuk Atsuhime (Puteri Atsu) di TV Alhijrah setiap pukul 3.30 petang. - http://wiki.d-addicts.com/Atsu-hime , siri cerita ini adalah fiksyen, tetapi asas drama ini adalah bukan fiksyen dan berkisarkan tentang era Pemerintahan Kesyogunan Tokugawa di Jepun sehinggalah pertukaran tampuk kekuasaan kepada Pemerintahan Meiji (Maharaja). Apa yang saya minat fasal sejarah Jepun adalah kerana, mereka sangat mengambil iktibar dan berhati-hati dalam memutuskan soal pemerintahan negara mereka (ketika itu) dan membuatkan mengapa kita terfikir mengapa negara Jepun tidak dapat dijajah sehinggalah pendudukan Tentera Amerika Syarikat selepas Perang Dunia Kedua. Perkara yang paling menambat hati saya sehingga ini adalah budaya Kejuruteraan Semula (Re-Engineering) orang Jepun yang sangat tinggi.

Kisah yang paling popular tentang budaya Jepun ini adalah bagaimana mereka meniru dan membina kapal perang mereka sendiri hanya dengan berpandukan lukisan kapal perang Belanda pada ketika Meiji Restoration Period. Ada lagi satu kisah zaman sekarang, fasal bagaimana orang Jepun mereka semula tong sampah automatik yang sekarang ini digunakan di Malaysia di serata flat-flat DBKL dan PPR (berwarna biru).

Kisah budaya Kejuruteraan Semula ini juga ada terdapat dalam seluruh sejarah peradaban manusia, cuma usahanya itu sama ada banyak atau sikit. Saya juga ada mendengar cerita daripada seorang bekas Leftenan Kolonel ATM yang terlibat dalam proses Re-Engineering raifal Styr AUG di Bukit Arang 10 tahun yang lepas.

Oh ya, cuti semester kali ini sudah hanya berbaki beberapa hari sahaja. Minggu hadapan sudah masuk semester yang baru. Semoga kita sentiasa berada di bawah pimpinan-Nya.


“Dari ‘Uthman bin ‘Affan RA, Nabi SAW bersabda: “Orang yang terbaik dari kalangan kamu ialah orang belajar al-Quran dan mengajarnya" - (Bukhari)

Tuesday, May 25, 2010

Hidup Itu Memang, Mati Itu Pasti

Salam, dah lama saya tak bercakap fasal-fasal kerohanian ini, walaupun suatu ketika dulu saya pernah belajar serba sedikit perihal perkara ini, dan saya percaya ramai kawan-kawan saya pun begitu juga.

Baru beberapa minggu lepas semua budak rumah saya duduk sekali dan bersembang perihal ini, malam itu kami semua menceritakan sejarah hidup masing-masing. Disebabkan kami memang sudah berkawan rapat hampir 2 tahun jadi banyak perkara peribadi yang kami dapat bincangkan.

Sehinggalah laluan perbualan kami tempoh hari masuk kepada bab kematian. Ramai juga kawan-kawan rapat saya yang telah pergi dulu. Jadi memang benarlah janji tuhan itu, bahawa, ajal ini tidak kira umur. Muda dan tua atau sesiapa sahaja. Asal ia bernama makhluk, maka hukum ini pasti akan ditempuh.

Saya pun seperti orang yang lain juga, selalu sangat berbuat kesilapan, kadang-kadang memang sengaja pun. Bukannya tidak tahu.

"...maka apabila ajal itu datang, mereka tidak akan mampu meminta kelewatan walau sesaat, atau mempercepatkannya". An-Nahl : 61

E-Volt 410 + F.Zuiko 50mm f/1.8 + Cahaya Acer Aspire + Malam Muhasabah Diri

Saturday, April 4, 2009

Pokok Durian Satu Analogi Permasalahan Masyarakat

Salam..

Sudah hampir berapa ketika blog ini tidak dikemaskinikan, kekangan waktu yang sangat padat saya isi dengan penumpuan terhadap pelajaran sepenuhnya yang mana sudah terang-terangan dicorakkan dengan ideologi Darwinisme yang kini dikaburi dengan dengan slogan K-Economy (Knowledge Economy) dan juga Human Capital. Struktur ini akhirnya hanya mengeluarkan robot yang tahu bekerja serta mempunyai minda yang sudah tertawan. Apa yang menjadi masalah umat hari ini, salah satu cabangnya adalah perkara ini. Walaupun perkara ini seolah-olah nampaknya kurang logik, tetapi inilah hakikatnya. Saya akan kupas sedikit demi sedikit menjelang penghabisan artikel ini.

Saya juga seperti kawan-kawan yang lain yang sebaya dengan saya, menonton televisyen, mendengar muzik, melakukan yang sama seperti rakan-rakan saya. Namun, tidak semua menyedari hakikat sebenarnya kita ini sudah terperangkap di dalam satu ruang zaman yang dicipta oleh Barat (baca:penjajah) sama ada melalui penjajahan fizikal mahupun pemikiran, walaupun sudah ada banyak sekali risalah serta buku-buku yang menyebutkan perkara ini. Pasti anda pernah terfikir, apa mungkin Barat ini terlalu kejam dan jahat sehingga mahu melenyapkan langsung acuan Islam di muka bumi Allah ini. Tetapi apa yang terjadi sekarang seperti masalah sosial, akhlak dan ekonomi adalah melalui hemat saya boleh dipusatkan puncanya pada usaha Barat ini.

Inilah apa yang disebutkan oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas sebagai loss of adab yang akhirnya mengakibatkan “kekeliruan dan penyelewengan dalam ilmu”. Umat kini sudah terkeliru ilmunya, sudah bertukar cara perjalanan hidupnya dan lalu institusi masyarakat itu dengan sendirinya akan menghadapi masalah-masalah yang pelbagai kerana kita adalah orang Islam dan tidak mungkin Islam itu diubah kerana sifat Islam itu sendiri adalah mengubah.

Kawan-kawan, ini bukan perkara baru! Ulama' seantero dunia sudah lama pun meratapi perkara ini, sejak tahun 40-50an lagi, hubungan Makhluk dan Khaliq-nya telah sedikit-sedikit dijauhkan, caranya hanya dengan menyuntik dos-dos kekeliruan ilmu kepada umat Islam. Kita tak perlu pergi kepada yang terlalu luas skop-nya. Cukup sahaja melihat negara kita sendiri, Melayu itu sendiri kalau kita lihat sudah terkeliru dengan jati dirinya yang mana memang selama ini berpaksikan kepada Islam.

Sudah menjadi lumrah dunia, yang menang itu akan menulis sejarah. Anak-anak bangsa sehingga kini dihantar untuk belajar ke negara-negara luar untuk belajar daripada mereka yang mana ilmu itu sendiri dicorakkan dengan pemikiran Barat yang kaya dengan pemikiran darwinisme, materialisme yang menidakkan peranan Khaliq (Pencipta) itu sendiri. Suka saya katakan juga, ilmu-ilmu itu juga akhirnya malah sudah pun dibawa pulang ke sini untuk diajarkan pula kepada kita. Kepada yang tidak faham akan masalah ini, pastinya akan berada dalam keadan yang keliru meskipun mereka sendiri tidak menyedarinya.

Agak tidak logik dan radikal bukan?

Terlalu banyak natijah akibat masalah ini, daripada perkara yang paling asas dalam Islam sehinggalah masalah yang akan menjadi semakin rumit jika hendak dikupas lagi.

Dalam khutbah-khutbah pada hari Jumaat yang selalu kita dengar setiap minggu pun banyak menceritakan betapa Islam ini tidak tertegak seperti yang sepatutnya. Umat tidak bersatu, umat berpecah belah, terlalu banyak masalah. Tetapi bagaimana kita mahu menanganinya jika umat itu sendiri tidak faham apakah punca asas yang menjadi penyebab kepada masalah ini?

Mahu mewujudkan negara Islam? Nanti dahulu.

Perbincangan empat mata saya dengan Cikgu Zamri daripada MRSM Berseri dan murabbi saya dalam ilmu tauhid iaitu Prof. Aisya Nudin tempoh hari amat membuka minda saya dan menjadikan diri yang amat mentah ini lebih faham akan kekeliruan ini.

“Mana mungkin pokok durian itu mampu mengeluarkan buah epal”

Dan “Islam itu kini umpama hanyalah hiasan-hiasan sahaja seperti lampu lip lap pada pokok-pokok di Dataran Merdeka” adalah analogi mudah bagi perkara ini.

Kita kini sudah dan telah pun dicorakkan dari dasar lagi dengan struktur ilmu yang dikelirukan oleh penjajah barat. Kini juga ia masih berjalan di institusi-intsitusi ilmu khasnya IPTA/IPTS. Ilmu agama dan ilmu sains itu dipisahkan sama sekali dan kini jurangnya semakin besar. Hampir boleh dikatakan ramai ulama' yang lahir pada hari ini tidak boleh mengusai ilmu sains dan matematik dengan baik dan begitu juga sebaliknya.Lalu lahir gejala di mana kedua-dua bidang ilmu ini menuruti haluan masing-masing hatta ilmu sains terlepas sama sekali daripada panduan dan tujuan keagamaan lalu tertumpu seratus peratus kepada tujuan kebendaan sekular tajaan barat.


Jika anda fahamkan betul perenggan di atas, mungkin boleh menjadi jawapan mudah bagi pergeseran politik negara kita kini. Betul tak?

Jadi mana mungkin ilmu 'aqlliyah itu mampu berkhidmat kepada ilmu naqlliyah dengan baik dan betul. Oleh itu juga, mana mungkin Islam mampu tertegak seperti waktu kegemilangannya dahulu.

Kita sudah terkeliru.

Saya memandang peranan penting ini perlu didokong dengan tegas dan jitu oleh kita iaitu golongan mahasiswa, kerana bagi saya golongan mahasiswa adalah yang paling dekat dengan masalah ini, golongan ini jugalah yang menjadi asalan kepada kekeliruan itu. Golongan ini juga boleh dikatakan sudah mencapai tahap matang untuk berfikir perihal ini.

Jadi siapa dalam mahasiswa itu yang mesti mengorak langkah? Badan Dakwah atau Majlis Perwakilan Pelajar?

Kadangkala kita sibuk dengan perselisihan pendapat yang sebahagian besarnya dicerminkan oleh masalah politikus negara. Kita juga terlupa atau mungkin tidak tahu pun akan tanggungjawab utama ini untuk menyedarkan masyarakat. Tugas ini bukanlah hanya digalas oleh badan bukan kerajaan Islam sahaja tetapi mahasiswa itu sendiri. Perlu ada kesedaran yeng mesti ditanamkan dalam pemikiran masyarakat. Nah, siapa yang perlu mulakan? Kitalah.

Kepada kumpulan jemaah dakwah di kampus-kampus yang rajin menganjurkan usrah, disamping menekankan aspek aqidah serta tauhid, dan juga kadangkala berbicara perihal politik murahan. Strukturkan semula cara penyampaian, fahamkan masalah umat ini. Kita perlu melakukan “culture jamming” terhadap pemikiran umat.

Berapa ramai antara naquib/ah yang mengepalai usrah itu mampu membicarakan perihal ekonomi, perihal pemikiran kritikal disamping ilmu agama yang boleh membuka minda anak-anak buahnya? Nampak bukan jurangnya.

Hakikatnya ramai antara kita tidak memiliki ‘alat’ (tools) yang secukupnya untuk menghadapi cabaran kehidupan ini, sepertimana dakwaan Dorothy Sayers. Mereka seumpama askar-askar yang diarahkan berperang, tetapi tidak dilengkapi senjata. Mereka bernasib baik berjaya sekali, tidak bermakna akan berjaya selepas itu.

Ramai juga antara kita kini sudah menjadi mangsa kepada kekeliruan ini. Belajar sahaja bidang ekonomi, politik dan sains tetapi tidak mampu berfikir dengan betul akan masalah umat ini. Kegilaan kita umumnya hanyalah kepada Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) atau dalam “English”nya Cumulative Grade Pointer Average (CGPA), dan mengejar peluang-peluang pekerjaan yang akan memberikan pulangan gaji yang tinggi. Inilah apa yang dikatakan struktur pendidikan yang dicorakkan kapitalis. Hanya diajar untuk menghafal dan faham sedikit, tetapi tidak untuk berfikir.

Seperti kata Syed Muhammad Naquib Al-Attas, tujuan mutlak bagi pengakhiran mempelajari ilmu itu adalah al-haqq (the truth and reality).

Bukan saya membelakangkan pendidikan, apa kuasa saya kerana dunia kini memang sudah dicorakkan sebegitu, jadi mahu tak mahu saya mesti mengikut oder dunia ini. Tetapi bagi saya, gemilang dalam sistem bercorak kapitalis ini boleh kita jadikan sebagai alat dalam usaha menegakkan Islam itu kembali pada tempatnya. Mungkin Islam itu tidak akan tertegak dalam hayat kita, tetapi saya mengajak anda semua supaya mula bergerak atas kesedaran ini untuk menyampaikan perihal akar masalah umat ini.

Sebenarnya sudah ada yang bergerak untuk melaksanakannya, tetapi kita perlu ramai lagi.

Apa kata anda?

Saturday, March 21, 2009

Surah At-Takathur - The Matrix of Modern Ignorance

Di kawasan tempat saya tinggal memang rata-ratanya sudah menjadi kawasan yang boleh dikatakan didiami oleh golongan pertama dan akan disambung kesinambungannya oleh generasi kedua dan sedikit ketiga. Ulu Yam adalah salah satu kampung baru yang distruktur semula dalam Rancangan Briggs untuk melumpuhkan operasi Komunis satu ketika dulu ini letaknya di daerah Hulu Selangor. Namun bukan itu yang saya nak bawakan pada hari ini.

Ada kawan keluarga saya sudah bergembira kerana mempunyai bilangan cucu yang banyak. Yang di belakang barisan rumah saya pula baru sahaja siap membuat penambahan (renovation) rumah. Nun, di hujung taman baru membeli kereta mewah yang baru.

Sewaktu berjalan ke kelas Calculus semalam, pemerhatian terhadap perlakuan masyarakat sekeliling yang sudah agak leka dengan dunia moden sekarang. Apa yang berlaku sekarang kalau dilihat adalah pengulangan yang berlaku dan akan berlaku dan pernah berlaku berulang-ulang dari masa dahulu sampailah ke hari ini. Tak percaya, tutup komputer anda, keluar rumah, dan lihat sekitar anda.

Jadi, apakah pengulangan itu?

Ianya suatu yang kita akan buat untuk memperoleh sesuatu yang kita dapat banggakan!!

Tidak kiralah siapa kita.

Jika kita ini umpama pelajar kejuruteraan,

Maka kita akan banyak membuat latihan fizik dan bermain-main dengan teori, kadangkala ponteng kelas dan tak membuat latihan tutorial, selepas lulus ijazah kita akan bekerja untuk mencari duit yang banyak.

Jika kita ini umpama seorang pensyarah,

Maka setiap hari kita akan mengajar pelajar-pelajar kita supaya faham akan sesuatu idea pelajaran itu. Contohnya pengkameran (differentiation). Kalau ramai yang dapat PNG yang tinggi, pasti kita bangga.

Jika kita ini umpama seorang naquib/ah,

Maka, perlulah kita mencari lebih ramai ahli jemaah untuk berkongsi ilmu dan idea, kadangkala kita mencuri juga ahli jemaah lain. Lebih ramai ahli usrah kita, pasti ada orang lain yang memandang tinggi kepada kita.

Jika kita umpama seorang ahli politik,

Maka, tanggungjawab kita adalah untuk bekerja demi rakyat dan negara, ini penting untuk meraih undi dalam PRU atau PRK kelak. Kadangkala terjebak sedikit ke dalam kancah rasuah. Biarlah, kerana orang lain pun buat juga. Kadangkala juga tanpa segan silu membuat fakta dan fatwa sendiri.

Jika kita umpama seorang ustaz atau penasihat agama,

Maka, kadangkala kita mengeluarkan hukum-hukum agama yang mengampu tuan kita, menafsir bulat-bulat kitab-kitab fiqh dan tauhid mengikut pandangan kita, ya, untuk memastikan periuk nasi kita sentiasa ada.

Jika kita umpama seorang blogger seperti saya,

Pasti setiap hari akan berfikir untuk mencari idea-idea baru untuk dikongsikan di dalam blog. Makin ramai orang yang melawat makin tinggi trafik blog kita. Kadangkala, kita bangga dengan tulisan yang tidak seberapa. Terkadang juga diselitkan dengan berita atau fitnah yang kita tidak tahu pun asal periksanya.

Apa jua kita, jika kita masih tidak sedar apa tujuan kita hidup di bumi dan ke mana kita akan pergi selepas ini, maka kita akan terperangkap dalam matrix yang dicipta oleh syaitan.

Anda pernah menonton filem The Matrix?



Filem box-office ini menceritakan bagaimana sekumpulan manusia yang "tesedar" dalam suatu dunia ciptaan robot yang telah dicipta oleh manusia terdahulu. Lantas mereka ditipu di alam maya dengan melakukan aktiviti seharian tanpa disedari. Aktiviti harian, berjoging, menonton wayang, melakukan seks, bercumbuan. Aktiviti harian ini akan menghasilkan gelombang otak yang seterusnya menghasilkan haba untuk menjadi sumber tenaga robot-robot tersebut.

Lantas ini juga disebut oleh Allah di dalam Al-Quran (At-Takathur)

[1]Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh),

[2]Sehingga kamu masuk kubur.

[3]Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!

[4]Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!

[5]Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui - (apa yang kamu akan hadapi) - dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat).

[6](Ingatlah) demi sesungguhnya! - Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.

[7]Selepas itu - demi sesungguhnya! - kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!

[8]Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!


Dalam surah ini akan ada dua kali manusia tersedar daripada "Matrix"nya.

Yang pertama adalah ketika dia diTEMPIK oleh malaikat yang mengejutkannya ketika di kubur nanti.

dan yang kedua adalah ketika diTEMPIK semula untuk dihitung amalannya pada hari perhitungan (baca: Padang Mahsyar)

Maka, adakah sudah sampai kepada kita peringatan yang boleh mengejutkan kita dalam dunia yang serba moden ini agar kita tidak dicampakkan ke dalam neraka Allah kelak??

Dan sudahkah kita bersedia untuk ditanya akan segala nikmat yang telah dikurniai Allah kepada kita nanti??

____________________

*karya ini adalah olahan daripada karya asal dari blog Someideas