Thursday, February 14, 2013

La Tahzan

Salaam. Ini deja vu. Haha. Memang akan saya ulangi ayat ini seberapa kali yang saya mahu. Terutamanya apabila sudah lama tidak ada artikel terbaru (artikel bergambar tidak termasuk). Selang berberapa jam sahaja, keputusan peperiksaan semester lepas akan diumumkan. Kali ini, ia adalah satu keputusan yang saya rasa menjadi satu titik penting dalam perjalanan saya di bumi Tuhan ini.

Apa yang menariknya adalah, dalam enam subjek yang ada peperiksaan akhir semester lepas, satu daripadanya adalah subjek yang saya sudah gagal sebanyak dua kali. Jadi, yang ini kali ketiga. Banyaknya usaha saya pada semester lepas saya beratkan ke subjek ini, kerana ia menjadi titik tolak sama ada saya dapat meneruskan semester akan datang ataupun tidak.

Ada dalam beberapa artikel dua tahun yang lalu, saya menceritakan perihal kesusahan dan kerisauan saya terhadap bidang yang saya ambil ini. Alhamdulillah, saya berjaya mengharungi dunia Diploma saya dengan segulung kertas yang diidam-idamkan oleh semua orang. Cumanya perlumbaan kali ini lebih getir dan mencabar. Terkadang saya berasa, ingin sahaja berputus asa.

Kerisauan saya ini, bukanlah saya sandarkan pada diri saya sendiri sahaja. Tetapi, saya sandarkan pada tanggungjawab saya yang banyaknya datang daripada keluarga saya sendiri. Harapan ibu bapa dan orang yang rapat dengan saya sedikit sebanyak, tidak keterlaluan saya katakan, agak membebankan. Tapi itulah hakikat kehidupan ini, apa haknya untuk saya mengeluh, hatta saya akan hadapinya jua.

Oh ya, sekarang saya habiskan masa cuti saya dengan bekerja di sebuah pejabat kajian strategik dan propaganda untuk persediaan menghadapai pilihanraya yang akan datang tak lama lagi. Inipun, artikel ini saya tulis di atas meja saya di pejabat. Memang selalunya saya akan bermalam di sini kerana jaraknya dari rumah saya ke sini agak jauh.

Saya sebolehnya tak mahu bersangka buruk dengan ketentuan Allah, tetapi, saya percaya saya sudah lakukan sehabis baik yang saya mampu pada semester yang lepas. Apa-apa keputusan yang saya dapat kelak, akan saya terima dengan hati yang terbuka, kerana insya Allah, saya membenarkan segala apa urusan tadbirNya terhadap masa depan saya.

Nikon V1 + CCTV Fujian 25mm f/1.4 + Kukirakan Detik Infra Merah
“Today is what you have and the only thing you can work with. Yesterday is gone and tomorrow isn't here yet.”
 Aidh bin Abdullah al-Qarni,  La Tahzan

No comments: