Monday, June 15, 2009

Bumi Berubah Bukan?

Salam, kalau bumi berubah, maka manusia juga pasti berubah. Untuk kita mengekalkan ketetapan dalam hidup itu bagi saya amat sukar sekali, namun untuk mencapai satu tahap itu adalah lebih senang berbanding mengekalkannya.

Tahap-tahap dalam hidup seseorang itu pasti akan dilalui dengan begitu cermat dan teratur sekali dan pastinya tidak akan dapat dilupakan sampai ke akhir hayat.

Perubahan itu kadangkala terjadi akibat beberapa faktor dan menurut Ibnu Khaldun faktor yang paling utama adalah persekitarannya sendiri. Persekitaran itu jugalah yang membentuk bentuk fizikal dan emosi seseorang itu. Jadi, tidak hairanlah jika hari ini seseorang itu seperti yang kita lihat pada sesuatu masa tertentu dan mungkin beberapa bulan akan datang ada sesuatu yang sudah berubah. Ia bagi saya tidaklah secara drastik namun semuanya bermula daripada fikiran dan minda seseorang itu. Pandangan alamnya berbeza mengikut tempat. Tak percaya? Tanyalah diri sendiri.

Saya agak lama tidak menulis kerana tidak ada perkara yang merangsang saya untuk menulis panjang seperti dahulu. Ya, saya sekarang berada di rumah yang mana situasinya berbeza ketika di kolej dulu. Bagi saya minda saya kurang berkembang jika berada di rumah. Mungkin kerana faktor rakan-rakan dan situasi yang tidak terlalu memerlukan saya melakukan sesuatu kerja dengan segera.

Perkara ini saya telah rasai sejak dahulu lagi ketika berada di MCKK, banyak pandangan dan perkongsian idea bersama rakan-rakan dapat berlaku. Tetapi apabila tiba masa pulang ke kampung, idea itu tidak dapat berkembang dengan baik. Maklumlah, saya hampir hilang semua kawan saya ketika di sekolah rendah akibat ketiadaan saya kerana hampir 5 tahun bermastautin di Kuala Kangsar. Saya berada di bumi Kuala Kangsar lebih lama daripada saya berada di rumah dan sehingga kini pun, rumah kedua saya di Perlis.

Untuk mengatasi masalah kelembapan minda ini, saya secara serba sedikit sudah memenuhkan masa saya sewaktu cuti ini yang pada waktu ini berbaki lebih kurang 3 minggu sahaja. Awal cuti lepas, atas masa yang sesuai saya telah sertai satu persidangan sumber terbuka yang dianjurkan oleh MSC. Minat terhadap sumber terbuka itu dapat diluahkan sepenuhnya disitu dengan berjumpa dengan komuniti yang sebelum ini saya hanya kenal melalui nama samaran sahaja.

Selain daripada itu, saya menghabiskan masa dengan membaca dan membuat kajian di forum-forum di internet di samping ke Kuala Lumpur untuk memenuhkan portfolio fotografi saya. Fotografi merupakan antara minat saya yang saya rasa bertahan sampai ke hari ini selain muzik dan juga seni. Saya mula memegang kamera sejak kecil lagi dan mengenali dunia fotografi dengan serius sejak tahun 2005 lagi.

Fotografi bagi saya terlalu abstrak untuk diterangkan, ia bukan suatu disiplin yang terlalu mementingkan peraturan. Ia suatu hasil yang datang daripada mata kita sendiri. Namun pada hari ini ia dikaburi dengan lambakan sifat "fanboyism" yang kadangkala hanya berkisarkan tentang alatan dan gajet-gajet terbaru sahaja. Namun hasilnya tidaklah boleh dibanggakan.

Semalam saya ada terbaca komen pada dinding Facebook YB Nik Nazmi (Pakatan Rakyat) tentang perihal Zaid Ibrahim sudah menyertai Parti Keadilan Rakyat. Namun rentetan daripada komen itu, ada rakan-rakan Facebook yang membawakan isu Chin Peng untuk dibincangkan yang pada saya ia hanyalah sentimen politik yang sengaja ditimbulkan demi kepentingan sebahagian pihak. Rata-ratanya ada yang menyokong dan ada yang membantah. Emosi juga tidak terlepas. Lebih kurang begini komen saya yang saya telah tulis juga pada dinding Facebook YB.



salam..daripada isu zaid ibrahim, sampailah ke isu chin peng. Saya berminat nak sentuh isu chin peng dari pandangan saya.

Semua ini adalah suatu alat, alat yang mana selalu dibangkitkan kalau tidak hari ini, maka esok dan seterusnya. Inilah politik. Sentimen

Tidak ada pun, dari Chin Peng sendiri. Jika benar beliau ingin pulang ke Malaysia sangat. Maka perlulah dari pihak beliau berusaha bersungguh-sungguh. Melobi pihak itu dan ini.

Chin Peng adalah ikon utama PKM, dari dahulu hingga kini. Bukannya Abdullah CD, Rashi Maidin, Shamsiah Fakeh. Itu memang tidak dapat dinafikan. Persoalannya, Malaysia ini bebas merdeka atas dasar acuan yang bukan daripada komunis. Ia adalah atas acuan persetujuan dan persefahaman antara kaum utama.

Jadi, apa sumbangan komunis untuk memerdekakan Malaya pada ketika itu? Saya nampak ada sumbangannya, iaitu komunisme di Malaya telah membuka mata ra'ayat dan mencetuskan revolusi pemikiran seterusnya mendorong ke arah kemerdekaan.

PUTERA-AMCJA, API, PKMM dan mana-mana parti berhaluan kiri juga bukannya mendokong komunisme secara total. Hanya semangatnya sahaja. Rujuk memoir Ahmad Boestamam dan juga beberapa pejuang berhaluan kiri pada ketika itu.

Kadang-kala sesuatu keputusan berat mesti diambil untuk mengekalkan kemaslahatan sesuatu perkara.

Dalam konteks ini, jika Chin Peng dibawa pulang. Pasti akan mengakibatkan rusuhan dan bantahan dari pelbagai pihak yang seterusnya akan mencetuskan permasalahan ekonomi, sosial serta sebagainya.

Saya percaya, kalau kepulangan Chin Peng tidak memberikan kesan negatif terhadap keseimbangan hubungan masyarakat Malaysia,
sudah lama beliau dibawa pulang.

Apabila bercakap, minda mesti berjalan seiringan.
Analoginya mudah, jika Malaysia membangunkan proses memperkayakan uranium untuk sistem janaan kuasanya ditambah pula menggunakan teknologi China. Bukankah nanti AS akan terus berminat untuk dengan kita? Bukan Malaysia tidak ada kepakaran, cuma soalnya kemaslahatan.

Situasinya sama dengan Chin Peng ini, untuk mengelakkan masalah besar yang baru muncul, kadangkala sesuatu yang boleh dianggap baik itu terpaksa diketepikan.

Penting sangat-kah Chin Peng di bawa pulang? Mungkin kita boleh buat dokumentari khas tentang kisah hidupnya menurut konteks pandangan alam diri beliau pada zaman darurat.


Kadangkala sudah muak dengan permainan politik Malaysia yang dipenuhi dengan sentimen dan demagogi. Anda juga manusia bukan? kalau bumi berubah, kenapa manusia kadangkala sukar untuk berubah?

**artikel kali ini bersifat rojak, ia memerlukan saringan untuk dibuat rujukan

No comments: