Friday, March 23, 2012

Mimpi Minda Bawah Sedar

Salaam, malam tadi selepas saya habis sahaja kelas Static & Dynamic sekitar jam 10.00 malam, saya terus pulang ke rumah, mandi, solat isyak dan bersedia untuk tidur.

Memang kalau kita sudah penat, letak sahaja kepala atas bantal, sedar tidak sedar, kita akan cepat sahaja memasuki fasa "Tidur Gerak Mata Cepat" atau dalam ungkapan Bahasa Inggerisnya "REM (Rapid Eye Movement)". Jadi saya rasa malam tadi kurang 15 minit saya lelapkan mata, saya sudah mencapai fasa REM.

Tidak Disangka - Sangka

Sudah menjadi lumrah manusia, mimpi yang tidak dicatat atau direkod akan hilang secara perlahan-lahan daripada memori kita, mungkin disimpan di bawah minda bawah sedar.Baiklah, begini ceritanya. Malam tadi, saya bermimpi berada di dalam suatu majlis yang saya sendiri tidak tahu apakah yang dianjurkan dalam majlis itu sebenarnya. Tetapi dalam hati saya, saya pasti ini ada kaitan dengan pergolakan politik negara kita.

Yang saya nampak, saya telah keluar dari majlis itu dan saya nampak ada beberapa sosok badan yang saya kenal, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan beberapa orang rapatnya. (Saya pernah membuat beberapa kerja untuk Parti Keadilan Rakyat; atas dasar kerja dan upah sahaja). Memang jika mimpi kita sendiri, sedikit sebanyak kita tahu apa yang sebenarnya terjadi dalam mimpi itu, walaupun kita tidak bertutur dengan sesiapa pun. Oh ya, malam tadi, ketika dalam mimpi itu saya ada menyapa seorang pengawal yang mukanya saya kenal dengan senyum dan menundukkan kepala sedikit.

Tidak lama selepas itu, latar mimpi saya sudah pun bertukar ke sebuah masjid yang saya sendiri tidak tahu di mana. Sekitarnya terdapat ramai orang dan pada fikiran saya ketika dalam mimpi itu, ini pasti ada sesuatu perkara yang penting sedang berlaku, seingat saya, ketika itu saya ada memegang sebuah kamera.

Apa yang saya lihat, ketika itu, ada dua sosok pemimpin utama negara kita iaitu Datuk Seri Najib dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang bertukar deklarasi berdamai antara satu sama lain. Perkara ini saya rasakan pasti ada kaitan dengan kedua-dua mereka mahu menghentikan pertelingkahan politik yang selama ini membelenggu Malaysia.

Tiba-tiba, saya tersedar, dan jam sudah pun menunjukkan pukul 7.00 pagi.

Minda Bawah Sedar

Saya mungkin, mungkin atau pernah memikirkan perkara ini suatu ketika dahulu, namun begitu, seingat saya, tidaklah sebegitu terperinci ideanya, namun harapan itu ada sebenarnya dalam diri ini untuk melihat Malaysia yang lebih baik untuk generasi 100 tahun akan datang. Saya rasa, mimpi ini sendiri telah pun dirangka tanpa saya sedari oleh minda bawah sedar saya.

Maha suci Allah yang menciptakan otak dan minda manusia sehingga mampu mereka dan merangka peristiwa yang tidak lagi berlaku dalam hidup nyata kita.

Olympus E410 + Zuiko Standard Lens 14-42mm + Sekitar Demo Anti-ISA 2010