Ayah saya ada juga memberi beberapa novel Inggeris sebelum itu, tulisan Jack Higgins, tapi saya tak dapat bawa, berat sangat bahasanya. Cuma siri Ladybird saya dapat ikut.
Siri bacaan sekolah menengah seperti Robinson Crusoe dan Prisoner of Zenda itu saya rasa bolehlah saya jadikan sebagai bibit-bibit permulaan hobi ini. Walaupun musim Harry Potter sedang melanda remaja sebaya saya, tapi disebabkan saya kurang suka siri fiksyen magik, jadi saya ketepikan dahulu.
Memang minat saya dalam cerita sejarah dan bukan fiksyen sudah ada sejak dulu lagi, seingat saya "Memoir Leftenan Mohamad Noor dalam Force 136" yang saya ambil dari rumah Tok Wan saya ketika kecil dulu adalah buku pertama bukan fiksyen yang saya baca. Oh ya, Tok Wan saya dulu berkhidmat sebagai Askar British dalam Kor Angkut.
Pegasus Bridge , The Wild Blue tulisan Stephen E. Ambrose menjadi dua buku Inggeris awal yang saya berjaya habiskan dan saya faham 100%, ada yang ketiga iaitu D-Day, tapi waktu itu sudah berada di ambang PMR, jadi saya tinggalkan seketika.
Lord of Flies tulisan William Golding juga saya berjaya habiskan, karya fiksyennya boleh diterima akal.
Selepas itu saya terjebak dengan tulisan Andy McNab sejak saya berada di Perlis pada tahun 2008. Sedap juga karya fiksyennya, penuh dengan fakta nyata. Setakat ini sudah 3 siri beliau yang saya baca. Cerita mengenai pengintip upahan dan kadangkala lebih kepada ketenteraan.
Ada siri baru, saya sudah periksa di MPH, esok mungkin berlari ke sana sekejap.